Wednesday, December 15, 2010

Pencarum KWSP namakan waris meningkat

Kesedaran generasi muda terhadap simpanan persaraan mereka naik 29.22 peratus

KUALA LUMPUR: Bilangan pencarum yang membuat penamaan waris untuk simpanan persaraan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga September 2010 meningkat 29.22 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol berkata, 4,249,540 pencarum sudah membuat penamaan setakat suku tahun ketiga 2010 berbanding 3,288,592 untuk tempoh sama pada 2009.
“Pencarum terutama generasi muda mula bertanggungjawab menamakan penama bagi simpanan mereka dan kesedaran mengenai keperluan merancang dan menguruskan kewangan dengan baik meningkat.
“Ini menunjukkan perkembangan yang positif dan ia digalakkan oleh KWSP
selama ini, ” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Azlan berkata, prestasi suku tahun ketiga menunjukkan peningkatan bilangan ahli yang memilih untuk mengeluarkan simpanan persaraan mereka secara beransur-ansur apabila mencapai umur 55 tahun.

“Jumlah permohonan yang diterima untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55
Tahun pada suku tahun ketiga meningkat 37.60 peratus kepada 17,099 permohonan daripada 12,427 pada suku tahun yang sama tahun lalu.
“Jumlah simpanan yang dikeluarkan juga meningkat sebanyak 13.63 peratus daripada RM557.05 juta pada suku tahun ketiga 2009 kepada RM633 juta pada suku tahun ketiga 2010.

“Sebelum ini ramai yang memilih untuk membuat pengeluaran simpanan mereka secara sekali gus apabila mencapai umur 55 tahun, kini permohonan untuk pengeluaran fleksibel meningkat, ” katanya.

No comments:

Post a Comment